KOTA KINABALU: Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) akan berkerjasama rapat dengan Majlis Sukan Negara (MSN) Sabah sebagai salah satu usaha menambah baik program pembangunan bola sepak di negeri ini.
Pertemuan antara kedua-dua pihak berkenaan yang diadakan secara bersemuka itu turut membincangkan mengenai hala tuju program pembangunan SAFA dalam masa terdekat ini.
Penolong Setiausaha Agung SAFA, Azman Mastar berkata, pendekatan yang diambil itu adalah untuk manfaat bersama termasuk perkembangan dari pelbagai aspek membangunkan arena bola sepak di negeri ini.
Katanya, program ini akan memberi tumpuan penuh kepada pembangunan bola sepak awal bermula peringkat usia 10 hingga 18 tahun.
“Usaha memperkasakan sukan ini bukan saja dalam melahirkan bakat bola sepak secara berterusan tetapi juga memperkasakan bidang kejurulatihan, pengadilan dan pengurusan sukan berkenaan.
“Diharapkan, kerjasama kali ini akan membuahkan hasil yang cukup baik bukan saja kepada pembangunan bola sepak negeri tetapi juga kepada negara secara amnya,”katanya ketika ditemui, hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Eksekutif SAFA, David Wisom dan Pengarah Teknikal SAFA, Omar Maya manakala MSN pula diwakili Pengarah MSN Sabah, Asneh Mohd Noor.
Azman berkata, pihaknya yakin akan mampu melahirkan bakat untuk diketengahkan menerusi program pembangunan, penganjuran pertandingan dan juga pengurusan yang sistematik
Katanya, SAFA mengambil pendekatan untuk terus menjalinkan kerjasama rapat dengan pihak berkepentingan dalam program pembangunan bola sepak di negara ini terutama dengan MSN.
“Kita amat yakin gabungan kerjasama dan persefahaman dengan pihak berkepentingan itu akan dapat memastikan program pembangunan bola sepak di negeri mencapai kejayaan,”’katanya.
Sementara itu, Azman berkata, sejak Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin memegang tampuk kepimpinan SAFA, pelbagai usaha sudah diambil sebagai langkah memajukan bola sepak negeri Sabah.
Katanya, ia bukan saja meningkatkan prestasi pasukan utama tetapi juga pembangunan akar umbi bola sepak yang bermula dari peringkat usia muda.
“Ia bukan saja kerjasama dengan MSN tetapi juga dengan Jabatan Pendidikan Sabah bagi melaksanakan program pembangunan bola sepak di peringkat awal.
“Pelbagai pelan pembangunan bola sepak yang bersesuaian dengan peringkat usia termasuk seawal 10 tahun sudah dirangka untuk merealisasikan dan memperkasakan bola sepak di negeri ini,” katanya.
tamat





