Kota Kinabalu: Orang ramai dinasihatkan supaya berada di rumah sepanjang masa semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kecuali untuk memenuhi keperluan asas ataupun kecemasan.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, apa yang berlaku ketika ini bukanlah kegagalan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP).
Katanya, ia sebaliknya lebih kepada kegagalan orang ramai mematuhi SOP ditetapkan dalam usaha menangani penularan pandemik Covid-19.
“Berdasarkan kepada arahan terbaru kerajaan negeri, zon membabitkan tiga daerah iaitu Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan sudah tidak lagi dikuatkuasakan.
“Ini bererti perjalanan rentas sempadan membabitkan ketiga-tiga daerah tidak lagi dibenarkan kecuali untuk perkhidmatan perlu atau urusan kecemasan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keadaan kesesakan di Jalan Kepayan, berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, (KKIA), di sini, yang dipenuhi kenderaan, hari ini.
Hazani berkata, orang ramai juga diingatkan supaya mengamalkan penjarakkan sosial daripada orang sekeliling supaya dapat mengelakkan jangkitan Covid-19.
Sementara itu, tinjauan mendapati, keadaan jalan menuju ke pusat bandaraya berkenaan sesak sehingga lebih 3 kilometer.
Seorang pengguna jalan raya yang hanya mahu dikenali sebagai Norzam, 39, berkata, dia terpaksa mengharungi kesesakan jalan berkenaan untuk membawa ibunya mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).
Katanya, kesesakan itu amat mengejutkan kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang diumumkan sebelum ini sepatutnya dipatuhi masyarakat.
“Saya terpaksa melalui jalan berkenaan dan mengalami kesesakan sehingga beberapa kilometer untuk membawa ibu ke hospital.
“Keadaan itu amat mengejutkan namun tiada pilihan untuk meneruskan perjalanan kerana mempunyai temujanji perubatan di HQEI,” katanya.
Tamat






