Empat Tahanan Lari Dari Pusat Tahanan Covid-19 Diburu.

Penampang: Polis daerah ini melancarkan operasi memburu empat tahanan yang dilaporkan lari dari pusat kuarantin pesakit Covid-19, di Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri (ILMAN), di sini, hari ini.

Keempat-empat tahanan itu yang disahkan positif Covid-19 dikesan melarikan diri dari pusat berkenaan kira-kira jam 3.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, semua mereka dipindahkan dari lokap Balai Polis Penampang untuk mendapatkan pengasingan dan rawatan lanjut di pusat berkenaan.

Katanya, semua suspek dipindahkan secara berperingkat sejak 24 Julai lalu selepas disahkan positif Covid-19.

“Empat tahanan yang melarikan diri membabitkan tiga warga asing dan seorang warga tempatan berusia lingkungan 19 hingga 27 tahun.

“Semua suspek sebelum ditahan polis untuk siasatan mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan Seksyen 323/379 akta yang sama,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Haris berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung semua suspek diminta segera menghubungi pihak polis.

Katanya, maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang ditalian 088-723961 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Tamat