Penampang: Seramai 20 bekas anggota dan pegawai polis menerima sumbangan bakul makanan yang disampaikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, hari ini.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim yang menyampaikan bantuan berkenaan berkata, semua penerima adalah pesara polis yang dikenalpasti berada dalam kawasan pentadbiran IPD Penampang.
Katanya, ia adalah sebahagian daripada penghargaan kepada jasa dan bakti mereka sepanjang bertugas dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Bantuan ini akan diteruskan, malah kita mendapat maklumat terdapat beberapa lagi pesara polis yang memerlukan bantuan berikutan keadaan kesihatan dan terjejas akibat pandemik Covid-19.
“Oleh itu, kita akan cuba mendekati pesara-pesara ini menerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) untuk membantu semampu yang boleh,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Agihan Bakul Makanan kepada Pesara Polis di IPD Penampang, hari ini.
Mohd Haris berkata, bantuan ini adalah program yang dilakukan PDRM dan IPD Penampang pula bertindak sebagai penyelaras dalam menyampaikan bantuan serta mengenalpasti pesara-pesara yang ada di daerah ini.
Sementara itu, salah seorang penerima, Datuk Aloysius Mobijin, 79, berkata, beliau amat berterima kasih atas sumbangan yang diberikan kepada dirinya dan rakan-rakan pesara lain.
Katanya, sumbangan itu bukanlah mengenai bantuan makanan semata-mata tetapi ia lebih kepada penghargaan kepada mereka yang pernah bertugas menjaga keselamatan negara.
“Saya sering berkata kepada rakan-rakan seangkatan dan pesara polis, PDRM tidak akan pernah melupakan atau mengabaikan kebajikan setiap anggotanya.
“Saya amat berbesar hati dan terasa amat dihargai, maka saya ucapkan ribuan terima kasih atas bantuan yang diberikan,” katanya.
Seorang lagi penerima, Mohd Tahir Suhod, 60, berkata, sumbangan yang disampaikan itu amat bermakna kepada dirinya dan keluarga.
Katanya, ia bukan saja melambangkan perhargaan kepada pesara polis tetapi juga ikatan kekeluargaan kuat dalam PDRM.
Tamat









