Kota Kinabalu: Perodua Myvi yang hanyut di Sungai Kionsom, di sini, semalam, ditemui di lokasi berhampiran Kampung Dambai, kira-kira 2 kilometer daripada lokasi kejadian, pagi tadi.
Kenderaan itu difahamkan ditemui jam 7.20 pagi oleh orang awam yang membantu dalam operasi mencari dan menyelamat pasukan bomba.
Bagaimanapun, sebaik pemeriksaan dilakukan pasukan bomba hanya mengesan salah seorang mangsa masih terperangkap di dalam kenderaan berkenaan.
Kenderaan berkenaan hanya dapat dikeluarkan kira-kira jam 11 pagi sebelum usaha mengeluarkan mayat yang masih terperangkap di dalamnya dijalankan.
Ketua Operasi, Kenneth Willfred berkata, sejurus kereta berjaya dibawa naik, pihaknya hanya menemui salah seorang mangsa yang dipercayai penumpang kenderaan berkenaan.
“Mangsa adalah seorang lelaki berusia 37 tahun dan berasal dari Kampung Kionsom Lama manakala seorang lagi mangsa lelaki yang juga pemandu Myvi berumur 68 tahun masih hilang.
“Operasi mencari seorang lagi mangsa masih diteruskan dengan mengerahkan tiga kumpulan untuk melaksanakan SAR,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian, hari ini.
Menurutnya, kumpulan pertama membuat pencarian bermula di kawasan kenderaan itu mula dijumpai iaitu sekitar kawasan Kampung Dambai sehinggalah lokasi kejadian di Kampung Kionsom Lama.
‘Manakala kumpulan kedua pula akan melakukan pencarian di dasar sungai kawasan Inanam Laut sehingga ke Kampung Dambai.
“Bagi kumpulan ketiga, mereka akan menggunakan bot aluminium untuk membuat pencarian bermula di kawasan sekitar lokasi ini hingga ke Yayasan Sabah,” katanya.
Dalam kejadian jam 6 petang semalam, kereta Perodua Myvi berkenaan dihanyutkan arus deras ketika cuba melalui jambatan konkrit di Jalan Kionsom Lama, di sini.
Tamat










