Mangsa Terakhir Perodua Myvi Ditemui.

Kota Kinabalu: Mangsa terakhir kemalangan Perodua Myvi, Simon Sange Tupe, 68, akhirnya berjaya ditemui di kawasan tebing sungai berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Pomotodon, Inanam, di sini, hari ini.

Mayat mangsa ditemui dalam keadaan terperangkap di dalam timbunan pasir kira-kira jam 1.30 tengah hari, selepas usaha pencarian dijalankan sejak malam Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira 1 kilometer daripada lokasi pertama kejadian kemalangan berkenaan.

Katanya, mayat mangsa pula ditemui di kawasan Kampung Dambai iaitu sejauh 800 meter daripada lokasi penemuan kenderaan mangsa.

“Mayat mangsa akan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk menjalani ujian Covid-19 sebelum proses bedah siasat dijalankan.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya ketika ditemui di lokasi penemuan mayat mangsa, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, pihak polis mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa.

Sementara itu, Mohd Zaidi menasihati pengguna jalan supaya sentiasa berhati-hati terutamanya ketika musim hujan.

Katanya, masyarakat diminta supaya bersabar sekiranya berdepan insiden seperti ini bagi mengelakkan insiden seperti ini berulang.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada jam 2.20 petang, hari ini.

Katanya, kita bersyukur mayat mangsa dapat ditemui atas usaha semua pihak yang tampil membantu dalam operasi ini.

“Mayat mangsa dikeluarkan oleh pasukan bomba dan penyelamat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Tamat