Kota Kinabalu: Siasatan bahagian forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah mendapati kebakaran yang mengorbankan empat sekeluarga, di Taman Hungab, Penampang, Selasa lalu, berpunca dari bebanan elektrik.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Md Ali Ismail berkata, siasatan turut mendapati bebanan api berlebihan itu menyebabkan kebakaran merebak dengan lebih cepat dan jangkaan api bermula jam 2.32 pagi.
Katanya, ia membuatkan semua mangsa dipercayai gagal menyelamatkan diri kerana bahagian bawah rumah sudah dipenuhi api.
“Selain itu, semua tingkap rumah serta pintu keluar juga dilengkapi jerigi dan berkunci dipercayai menyebabkan mangsa terperangkap.
“Berdasarkan rekod, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang tiba ditempat kejadian pada jam 3.04 pagi dan kelewatan itu diakibatkan oleh nota panggilan yang dicetak tertera alamat tidak tepat,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Md Ali berkata, kesilapan alamat itu menyebabkan pasukan bomba tersasar dan terpaksa mendapatkan maklumat sebenar untuk ke lokasi kebakaran sebenar.
Katanya, semasa ketibaan, pasukan bomba mendapati bahawa api sudah merebak di keseluruhan bahagian bawah dan atas rumah.
Sementara itu, Md Ali berkata, pihak Pusat Panggilan MERS999 menerima empat panggilan kecemasan dalam kejadian itu dan panggilan pertama diterima pada jam 2.49 pagi.
Katanya, pada peringkat awal, petugas Pusat Panggilan MERS 999 mendapatkan empat maklumat asas berkenaan nama pemanggil, nombor telefon pemanggil, jenis kecemasan dan alamat lokasi kejadian.
“Maklumat itu kemudiannya disalurkan melalui Sistem Penghantaran Terbantu Komputer (Computed-aided Dispatch – CAD) kepada Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM, Negeri Sabah dan Balai Bomba dan Penyelamat Penampang.
“Pihak JBPM menerima maklumat berkenaan pada jam 2.52 pagi dan terus menggerakkan sepasukan anggota bomba ke lokasi kebakaran kebakaran,” katanya.
Sehubungan itu, Md Ali mewakili JBPM menzahirkan kesedihan dan mengucapkan takziah ke atas keluarga mendiang empat sekeluarga iaitu Matthew Wong, 50, Jecky Vun Kon Fung, 47, serta dua anak mereka iaitu Brendan Wong, 18, dan Eric Wong, 15 tahun.
Tamat







