Semporna: Seramai 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba menyeludup masuk ke perairan negara ini berjaya diusir ketika menghampiri Pulau Kulapuan, di sini, semalam.
Semua individu yang dipercayai dari negara Filipina itu dikesan masuk ke perairan Semporna kira-kira jam 9.20 pagi dalam rondaan di kawasan tanggungjawab dijalankan Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohammad Ismail berkata, bot yang dinaiki semua warga asing berkenaan dikesan anggota PPM Semporna.
Katanya, pasukan PPM kemudian mengekori dan menahan sebelum pemeriksaan dilakukan ke atas bot yang dijuragani oleh seorang lelaki dewasa warga Filipina.
“Hasil percakapan dari juragan mengaku mereka dari Sitangkai Filipina.
“Pemeriksaan dokumentasi mendapati bot yang tidak mempunyai l nombor pendaftaran cuba memasuki perairan daerah ini secara salah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut didapati bot berkenaan dinaiki tiga lelaki dewasa, lima wanita dewasa dan satu kanak-kanak lelaki dan perempuan.
“Semua mereka tiada dokumen pengenalan diri yang sah dan dipercayai dari Filipina. Susulan itu, pengusiran dibuat dan bot berkenaan diiring keluar dari perairan negara.
“Selain itu diarahkan semua mereka supaya tidak memasuki perairan negara selaras dengan kehendak undang-undang Akta Hak Kawalan Pencegah Penyakit Berjangkit 1998 bagi mengekang penularan wabak Covid-19,” katanya.
Sementara itu, Mohammad berkata, PPM Wilayah 4 Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0139391197.
Tamat









