Lahad Datu: Operasi pencarian kanak-kanak yang dikhuatiri dibaham buaya di Kampung Sinakut Felda, Sahabat 16, di sini, masuk hari keempat terus berdepan kebuntuan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, operasi pencarian kali ini dijalankan dengan menumpukan kawasan pesisir pantai sejauh 15 kilometer dari lokasi kejadian.
Katanya, itu antara usaha operasi mencari dan menyelamat (SAR) selain menggunakan kaedah Surface Rescue bersama agensi penyelamat lain.
“Selain itu, pasukan bomba juga menjalankan operasi pencarian di setiap anak-anak sungai berhampiran kawasan pantai berkenaan.
“Pasukan SAR berjalan menyusuri anak sungai selain cuba mengesan bau busuk yang mungkin terhasil daripada mayat mangsa,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, usaha itu juga gagal menemui sebarang tanda positif yang mungkin membawa kepada penemuan mangsa.
“Setakat jam 12.30 tengah hari tadi, pasukan operasi berhenti rehat dan operasi akan disambung semula pada sebelah petang,”katanya.
Dalam kejadian jam 7.18 malam, 4 November lalu, mangsa Mohd Zul Arian Andullah berusia 10 tahun dikhuatiri dibaham buaya selepas dilaporkan hilang ketika mandi laut bersama beberapa rakan.
Tamat







