Lahad Datu: Tiga lelaki ditahan selepas dikesan memiliki syabu dalam operasi yang dijalankan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Jalan Lahad Datu-Tungku, di sini, hari ini.
Dalam operasi jam 8 pagi itu, ketiga-tiga lelaki warga Filipina dan Indonesia berusia 25 hingga 46 tahun terbabit ditahan ketika menaiki kereta Perodua Viva.
Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, operasi dijalankan atas maklumat awam.
Katanya, sebaik ditahan pasukan operasi terus menjalankan pemeriksaan terhadap ketiga-tiga suspek dan kenderaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati, salah seorang suspek yang membawa beg galas berisi 10 paket plastik berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 59.03 gram.
“Turut dirampas sebuah alat penimbang digital, telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM1,150,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Abdul Rani berkata, semua suspek dan barangan dirampas terus dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, semua barangan dirampas termasuk dadah dan kenderaan dianggarkan bernilai RM20,153 berdasarkan harga pasaran semasa.
“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” tegasnya.
Tamat




