Operasi carilamat seorang lagi pemancing hilang masih dijalankan.

Kudat: Operasi carilamat seorang lagi pemancing yang masih hilang sedang giat dijalankan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, setakat ini, hanya seorang mangsa yang dikenali sebagai Laurin Maujun, 53, ditemui.

Katanya, mangsa ditemui penduduk kampung di kawasan perairan Kampung Selamat, Pulau Balambangan, di sini, kira-kira jam 3 petang, semalam.

“Manakala, seorang lagi mangsa, Kamri Kail, 51, masih belum ditemui dan usaha pencarian masih diteruskan dengan dikoordinasikan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

“Kedua-dua lelaki terbabit dilaporkan hilang selepas keluar memancing, sejak 1 Januari lalu, di perairan daerah ini,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Boon berkata, mayat mangsa yang ditemui sudah dibawa ke Klinik Kesihatan Kerakit, Pulau Banggi untuk tindakan lanjut sebelum diserahkan kepada pasukan polis.

Katanya, mengikut maklumat diterima, kedua-dua mangsa dilaporkan keluar ke laut menaiki sebuah bot kayu, kira-kira jam 8.00 pagi, Sabtu lalu.

“Kedua-dua mangsa dilaporkan memancing di sekitar kawasan perairan antara Kampung Limbuak Laut dan Pulau Balambangan.

“Sehubungan itu, Maritim Malaysia menasihatkan komuniti maritim supaya berwaspada dan menangguhkan aktiviti laut susulan keadaan cuaca buruk serta angin kencang yang melanda perairan Kudat ketika ini,” katanya.

Tamat