
17 Februari 2022, Kota Kinabalu – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah salah satu badan berkanun di bawah Kementerian Perdagangan Industri dan Antarabangsa (MITI) yang menjalankan program-program peningkatan produktiviti di peringkat kebangsaan, sektoral dan juga enterpris. Sehubungan dengan itu, program MyReskills IoT telah dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif bagi pelaksanaan program di peringkat enterpris. Program ini telah dilaksanakan bermula pada Oktober 2021 dan dijangka tamat pada Julai 2022 dengan sasaran penyertaan sebanyak 250 syarikat di seluruh Sabah.
Program ini telah dilaksanakan dengan beberapa objektif termasuk membantu syarikat bagi mengadaptasi IR4.0 dalam kalangan industri tempatan, melatih pekerja yang tidak mempunyai latar belakang ilmu coding dan kemahiran IoT supaya mereka kekal relevan dalam industri dan membimbing, melatih, menyedia dan membolehkan 5,000 penyertaan syarikat menjalankan projek IoT di syarikat masing-masing.
Penyertaan 250 syarikat disasarkan bagi Negeri Sabah di bawah kendalian MPC Wilayah Sabah dan pusat-pusat teknologi yang berpusat di Negeri Sabah. Setakat Februari 2022, terdapat dua (2) pusat teknologi yang telah bekerjasama bersama MPC Wilayah Sabah dalam mengendalikan latihan dan mengkoordinasi keseluruhan program iaitu Sabah Skills & Technology Centre (SSTC) dan S1 AsiaPac Sdn Bhd. Kerjasama erat bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) juga telah diperakukan oleh YB. Dato’ Sri Dr Ruddy Awah, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah semasa Pembentangan Bajet dalam Sidang Dewan Undangan Negeri pada 8 Disember 2021. SSTC telah menganjurkan program MyReskills IoT secara fizikal buat julung kalinya bagi batch pertama dengan penyertaan sebanyak 12 syarikat dari seluruh Sabah. Terdapat tujuh (7) batch keseluruhan yang bakal dilaksanakan oleh SSTC sepanjang Februari sehingga Julai 2022.
Setakat ini, MPC Wilayah Sabah bersama-sama dengan pusat-pusat teknologi telah menyerahkan Certificate of Completion kepada 137 syarikat daripada pelbagai sektor yang telah melengkapkan sesi latihan secara dalam talian setengah hari selama lima (5) hari dan juga melengkapkan Projek Proof of Concept (POC) di organisasi masing-masing melalui peralatan yang telah dibekalkan oleh pusat teknologi secara percuma. Pada 15-17 Februari 2022, program MyReskills IoT bagi batch kelima telah dijalankan secara fizikal bertempat di Sabah Skills & Technology Centre, Taman Industri Kota Kinabalu (KKIP) dan telah berjaya menarik penyertaan daripada organisasi pelbagai sektor. Encik Mokhzani Aris Mohd Yusoff, Pengarah MPC Wilayah Sabah juga sempat meluangkan masa bagi menyampaikan Certificate of Completion kepada organisasi yang telah menyempurnakan kursus selama tiga (3) hari dan menyediakan projek Proof of Concept pada hari terakhir penganjuran program.
Pelaksanaan inisiatif ini akan memberi impak kepada syarikat dari segi pelaksanaan proses kerja yang lebih efektif, pengeluaran produk dalam tempoh yang lebih singkat, penghasilan pekerja yang lebih produktif dan peningkatan penjimatan kos organisasi.
Bagi menyokong inisiatif dalam menggalakkan penggunaan IoT di Negeri Sabah, kerjasama bersama Sabah Skills & Technology Centre (SSTC) dilihat sebagai batu lonjatan bagi mempergiatkan lagi penganjuran program-program peningkatan produktiviti dan juga daya saing di Negeri Sabah selari dengan hasrat SSTC dalam menyediakan latihan kemahiran terbaik untuk memenuhi keperluan semasa dan mengukuhkan tahap pengetahuan dan kemahiran tenaga kerja Negeri Sabah.
Tamat






