Lelaki samun pekerja kedai diburu.

Wajah suspek berjaya dirakam cctv di lokasi kejadian.

Kota Kinabalu: Seorang lelaki diburu polis selepas tindakannya menyamun seorang pekerja sebuah premis di Universiti Apartment, di sini, tengah malam, semalam.

Dalam kejadian jam 12.12 tengah malam itu, suspek yang memakai topi keledar dikatakan menyamun telefon bimbit mangsa sebelum melarikan diri menggunakan motosikal.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, hasil siasatan awal polis mendapati, kejadian berlaku ketika mangsa berseorangan dan sedang bersiap untuk menutup kedai.

Katanya, mangsa kemudiannya didatangi suspek dipercayai berusia 30-an yang tiba-tiba merampas telefon bimbit mangsa dan terus melarikan diri.

“Kelibat dan wajah suspek yang memakai topi keledar berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di dalam premis berkenaan.

“Suspek dipercayai warga tempatan dirakam memakai baju putih, berambut panjang dan berjambang ketika kejadian,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, siasatan lanjut membabitkan kes samun tanpa senjata itu sedang dijalankan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, Mohd Zaidi berkata, pihaknya memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat sekiranya ternampak suspek bagi memudahkan tangkapan.

Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Allexius Sapikit di talian 016-3888828.

Sementara itu, Mohd Zaidi menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan berwaspada dengan setiap pergerakan terutamanya pada waktu malam.

Katanya, ia dipercayai memberi kesempatan kepada penjenayah untuk mengambil peluang atas kelemahan dan kealpaan mangsa.

“Elakkan juga ke tempat atau kawasan terpencil dan sunyi berseorangan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini,” katanya.

Tamat