
Ranau: Seorang remaja cedera selepas tertusuk anak panah dihidungnya ketika aktiviti menangkap ikan, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa yang berusia 18 tahun terpaksa dihantar ke Hospital Ranau untuk mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun, pihak hospital terpaksa mendapatkan bantuan pasukan bomba untuk mengeluarkan anak panah berkenaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.59 petang.
Katanya, sepasukan tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau dihantar ke hospital berkenaan.
“Sebaik tiba, pasukan bomba terus bertindak memotong anak panah yang tertusuk di bahagian hidung mangsa dengan menggunakan ‘bolt cutter’.
“Anak panah berjaya dikeluarkan dan mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 5.11 petang.
Tamat




