Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Bendahari Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Dato’ Sri Ghulam Haidar Khan Bahadar, berjaya membangkitkan semangat perwakilan menerusi ucapan berapi-api semasa membentangkan laporan kewangan pada Perhimpunan Agung Tahunan parti itu di sini.
Dalam nada penuh bersemangat, beliau mengajak seluruh ahli parti untuk terus melangkah ke hadapan demi masa depan rakyat dan negeri Sabah.
“Gagasan Rakyat bukan sekadar parti politik biasa. Ia adalah nadi perjuangan rakyat yang berpasak di bumi Sabah. Dalam menghadapi gelanggang pilihan raya yang semakin hampir, marilah kita kibarkan panji-panji perjuangan,” katanya disambut tepukan gemuruh perwakilan.
Menariknya, Ghulam membuka ucapannya dengan tiga rangkap pantun yang penuh simbolik dan penghargaan terhadap kepimpinan parti.
Ghulam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang menegaskan bahawa seluruh ahli Gagasan Rakyat berdiri teguh di belakang kepimpinan Ketua Menteri merangkap Presiden parti, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.
“Kepada Presiden, teruslah memimpin kami dengan hikmah dan istiqamah, demi merealisasikan Sabah Maju Jaya. Jangan gentar, jangan mundur – demi rakyat dan negeri tercinta, teruslah memimpin kami sampai bila-bila,” tegasnya.
Beliau turut memuji kebolehan dan ketabahan Hajiji yang bukan sahaja berjaya menstabilkan politik Sabah, malah membawa negeri ke satu tahap baharu dari segi pembangunan, pelaburan dan pertumbuhan ekonomi yang mapan.
“Inilah bukti Gagasan Rakyat sebagai tulang belakang Kerajaan GRS – bukan sekadar entiti politik, tetapi satu gerakan rakyat yang benar-benar membawa perubahan,” katanya.
Ghulam juga menyentuh tentang keteguhan Presiden dalam menghadapi pelbagai serangan peribadi dan gelombang fitnah.
“Dalam keadaan begitu, beliau tetap tenang dan fokus, menyulam harapan rakyat menjadi dasar perjuangan. Inilah pemimpin yang hadir tepat pada masanya – ‘Hanya Satu Hajiji, The One And Only’,” katanya sambil merujuk judul sebuah buku yang diterbitkan mengenai Hajiji
Ucapannya ditutup dengan rangkap-rangkap puitis yang sekali lagi membakar semangat perjuangan para perwakilan:
“Di rumah ini, kita bertapak, di bumi Sabah, kita berjanji; demi maruah, dan demi rakyat; Gagasan Rakyat akan terus berarak.”
“Bersama Presiden, kami teguh berdiri; pimpinan tekad ikhlas di hati; saf dirapatkan menuju ke medan pilihan raya; demi negeri, kita GASAK mantapkan parti.”
“Laksana ayam sabung merah bertaji; gagah berkokok di subuh hari; bertuahnya negeri punya pemimpin bernama DSP Hajiji; tabah berdiri tiada menyepi, hati sejati; berbudi pekerti, berjuang tanpa henti; mengabdi pada seluruh jajaran parti; semoga di bawah pimpinannya, Sabah terus diberkati; dan seluruh rakyat dilindungi dan dirahmati.”









