Perancangan strategik penting

Bantu perusahaan tempatan berkembang maju

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Perancangan strategik dan pasukan yang berdedikasi penting dalam membangunkan perusahaan tempatan berkembang maju dan melangkah jauh.
Presiden Dewan Perniagaan Malaysia–China (MCCC) Sabah, Datuk Dexter Lau berkata, pihaknya memuji Smart Bike Sdn Bhd yang berjaya membuka cawangan ke-11 dengan melancarkan AVETA Elite Centre yang merupakan pertama di Malaysia.
“Syarikat ini bermula dengan perkhidmatan dan alat ganti, kemudian berkembang kepada jualan motosikal, dan dalam beberapa tahun sahaja telah melebarkan sayap ke seluruh Sabah.
“Sejak 2023, ia telah membuka cawangan di Keningau, Kota Marudu, Papar, Sandakan, Ranau, Tuaran, Kota Marudu dan Lahad Datu, dan hari ini menyambut cawangan ke-11 iaitu stor utama AVETA pertama di Malaysia. Ini jelas membuktikan kepentingan perancangan strategik dan pasukan yang komited,” katanya.
Beliau menekankan adaptasi era digital dengan memanfaatkan media sosial dan platform dalam talian untuk promosi adalah penting dalam usaha menawarkan perkhidmatan di seluruh negeri.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan AVETA, Steven Lim berkata, penubuhan stor utama di Kota Kinabalu merupakan satu pencapaian penting untuk AVETA.
“Sejak pelancaran model Ranger Max Explorer pada 2023, AVETA telah mencatatkan pertumbuhan positif, dengan semakin ramai penunggang memilih jenama kami.
“Dengan kejayaan ini, ia datang dengan tanggungjawab yang lebih besar bukan sahaja untuk menghasilkan produk berkualiti, tetapi juga untuk menyediakan pengalaman pelanggan secara menyeluruh,” katanya.
Menurutnya, Sabah sebagai lokasi stor utama di Malaysia adalah keputusan yang baik kerana negeri ini adalah pasaran terbesar AVETA.

BAGUS …. Dexter (tengah) dan Steven serta jemputan lain menunjukkan isyarat `bagus’ semasa pelancaran AVETA Elite Centre.