Dua lelaki Sarawak maut ditembak di Cheras

KUCHING: Dua lelaki maut ditembak di luar sebuah pusat beli belah di Jalan Loke Yew di Cheras, tengah malam Isnin.
Menurut laporan yang memetik media tempatan, mangsa sedang berjalan menuju kereta yang diparkir apabila beberapa individu meluru ke arah mereka dan melepaskan beberapa das tembakan.
Penyerang dikatakan memakai topi keledar dan melarikan diri dengan sebuah kenderaan sejurus selepas kejadian tembakan itu.
Kedua-dua mangsa dipercayai berusia dalam lingkungan 40-an dan berasal dari Sarawak.
Polis Cheras sedang menyiasat kes tersebut dan maklumat lanjut dijangka akan dikeluarkan tidak lama lagi.
Kes ini berlaku hanya beberapa hari selepas kejadian tembakan berasingan di sebuah restoran di Brickfields pada 13 Jun yang mengakibatkan seorang lelaki maut dan dua lagi cedera.

TANGKAP layar rakaman video menunjukkan dua lelaki ditembak mati oleh suspek tidak dikenali di luar sebuah pusat beli-belah di Cheras, tengah malam Isnin.