Warga asing ditahan ugut keluarga dengan kayu

TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan polis selepas bertindak agresif dan mengugut ahli keluarganya di sebuah rumah di Kinabutan Batu 5, Jalan Apas, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku sekitar jam 11.30 malam apabila suspek, dalam lingkungan 40-an, tiba-tiba mengamuk sambil membawa sebatang kayu.
“Suspek mengugut mahu mengambil parang dan menetak penghuni rumah yang juga ahli keluarganya. Dia dipercayai bertindak demikian tanpa motif jelas,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, laporan diterima pada jam 12.56 tengah malam dan sepasukan anggota Unit MPV dari Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau segera ke lokasi dan berjaya menahan suspek bersama kayu yang digunakan.
Turut dirampas ialah sebatang kayu berukuran kira-kira tiga sentimeter lebar dan 70 sentimeter panjang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

DITAHAN …. Suspek terbabit ditahan oleh pasukan polis untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.