17 rumah terbakar di Skim Penempatan Kinarut

Oleh FARDY BUNGGA


KINARUT: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan sebanyak 17 rumah musnah dalam kebakaran di Skim Penempatan Kinarut, di sini, Sabtu malam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rozlan Osman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 11.22 malam.
Katanya, seramai 39 anggota dan pegawai melibatkan lima BBP iaitu Papar, Penampang, Putatan, Kota Kinabalu dan Tuaran terus dikerah ke lokasi.
“Kebakaran melibatkan keluasan kira-kira 3,700 meter persegi dengan rumah jenis separuh kekal dan tidak kekal yang terbakar sepenuhnya.
“Operasi pemadaman terus dilaksanakan menggunakan lima pancutan sepanjang 274 meter dari sumber air dari jentera,” katanya dalam kenyataan media, kelmarin.
Menurutnya, api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 12.25 tengah malam daripada terus merebak ke rumah sekitar.
Katanya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.06 pagi selepas dipastikan tiada lagi punca-punca api yang mencetuskan kebakaran semula.
“Setakat ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak Forensik Bomba,” katanya.

OPERASI …. Pasukan bomba sedang melaksanakan operasi memadam api kebakaran.