Oleh JAMES LEONG
TAWAU: Empat lelaki ditahan dan sebanyak 24 saman trafik dikeluarkan dalam satu operasi bersepadu polis di sepanjang Jalan Apas berhampiran Batu 12 di sini awal pagi Ahad.
Operasi yang dijalankan dari tengah malam hingga jam 3.00 pagi itu melibatkan seramai 27 pegawai dan anggota dari pelbagai bahagian, termasuk Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, serta Balai Polis Bandar Sri Indah.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, operasi tersebut bertujuan memastikan ketenteraman awam dan membanteras aktiviti lumba haram yang sering mengganggu penduduk tempatan.
Ia juga memberi tumpuan kepada pencegahan jenayah narkotik serta pemantauan terhadap pendatang tanpa izin memandangkan laluan itu merupakan akses utama ke Tawau dari daerah sempadan.
Empat lelaki berusia antara 20 hingga 24 tahun ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah semasa pemeriksaan dijalankan.
Saman trafik yang dikeluarkan meliputi pelbagai kesalahan termasuk memandu tanpa lesen sah atau lesen tamat tempoh (11 kes), nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi (2 kes), ekzos diubah suai dan bising (2 kes), kegagalan memasang cermin sisi dan aksesori keselamatan (4 kes), serta tidak memakai tali pinggang keledar (1 kes).
Jasmin turut menasihatkan orang ramai, khususnya golongan belia, agar menjauhi aktiviti lumba haram dan pengubahsuaian kenderaan tanpa kebenaran yang boleh membahayakan nyawa.
“Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengancam keselamatan awam,” tegasnya sambil menggalakkan orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan, penyalahgunaan dadah atau kehadiran pendatang tanpa izin kepada pihak polis.







