Lebih 500 ahli STAR, Warisan, KDM sertai PGRS Tambunan

Oleh JOHN TAMBANAN


TAMBUNAN: Lebih 500 ahli terdiri daripada bekas anggota Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Warisan dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Tambunan dalam satu majlis di Kampung Tondulu, di sini pada Sabtu.
Daripada jumlah itu, kira-kira 300 ahli daripada enam cawangan STAR diketuai bekas Ketua Kempen, Patricia Yusuf, manakala 120 lagi merupakan ahli Warisan diketuai Muhadi Amin, antara pejuang awal parti itu di kawasan berkenaan. Selebihnya adalah daripada KDM.
Borang keahlian diserahkan kepada Ketua Bahagian PGRS Tambunan, Datuk Victor P. Paut, pada majlis yang turut menyaksikan penyertaan ahli dari 12 kampung atau cawangan.
Patricia berkata keputusan meninggalkan parti masing-masing dibuat selepas mereka hilang keyakinan terhadap hala tuju dan kepimpinan parti terdahulu. Prestasi kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor, serta pendekatan kepimpinan PGRS Tambunan yang kerap turun padang turut menjadi faktor mereka memilih untuk menyertai parti itu.
“Saya melihat bagaimana komited dan prihatinnya kepimpinan kerajaan negeri serta PGRS Tambunan yang sentiasa turun padang, bertemu rakyat dan mendengar keluhan serta keperluan mereka,” katanya.
Muhadi pula berkata beliau menyertai PGRS kerana percaya kerajaan yang kukuh penting bagi memastikan agenda pembangunan Sabah dan kesejahteraan rakyat dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Katanya, rakyat memerlukan pemimpin yang bukan sekadar berada di pejabat, sebaliknya turun ke kampung untuk melihat sendiri masalah dan keperluan masyarakat.
Sementara itu, Victor berkata kemasukan lebih 500 ahli itu menunjukkan peningkatan sokongan terhadap PGRS Tambunan dan dijangka menjadi suntikan baharu kepada jentera akar umbi parti menjelang PRU16.
Beliau turut yakin lebih ramai ahli parti lain akan menyertai PGRS pada masa akan datang.

Patricia (ketiga dari kiri) menyerahkan borang keahlian PGRS kepada Victor pada majlis tersebut.