Oleh JOHN TAMBANAN
KUALA PENYU: Keharmonian dan perpaduan sosial bukan hadir dengan sendirinya. Sebaliknya, ia mesti dibina, disemai, dan disiram setiap hari, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu, Datuk Limus Jury.
Beliau berkata, amalan ini juga perlu diserap dan disemai dalam diri belia kerana belia adalah harapan sandaran negeri ini, menjadi jambatan yang menyambungkan semua kaum dan budaya.
Kalau bukan kamu (belia) yang merintis jalan untuk perpaduan, siapa lagi? Usah jadi agen perpecahan, sebaliknya jadilah pemimpin perpaduan. Mulakan dengan hati yang terbuka, telinga yang sedia mendengar, dan tangan yang mahu bekerjasama.
Kita bina Sabah ini bersama-sama, bukan secara bersendirian. Kalau ada silap, kita tegur. Kalau ada jurang, kita rapatkan. Kita satukan pemikiran, kita kukuhkan kerjasama demi masa depan anak cucu kita,” katanya.
“Keharmonian dan perpaduan sosial bermula dari rumah, kemudian dibentuk di sekolah, dihidupkan di kampung serta bandar, dan akhirnya diperkukuhkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Penutupan Program Turun Padang (Perpaduan Sosial) KBS Kuala Penyu di Dewan Terbuka Kg Lambidan, Menumbok.
Limus, yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya berkata, negeri Sabah ini sememangnya kaya dengan budaya, kaya dengan bangsa, kaya dengan adat.
“Tapi kekayaan sebenar bukanlah pada banyaknya suku kaum kita, tetapi pada keharmonian dan perpaduan sosial yang terjalin antara kita semua.
“Perpaduan bukan barang mewah. Ia bukan pilihan. Ia satu keperluan. Tanpa perpaduan, pembangunan tidak akan ke mana-mana. Negeri tidak akan maju kalau rakyatnya saling mencurigai, bergaduh hal remeh-temeh, atau sibuk mencari salah antara satu sama lain,” katanya.
Beliau, yang juga Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata, Sabah Maju Jaya bukan sekadar slogan. Ia hala tuju.
“Tapi hala tuju ini hanya akan berjaya kalau kita semua melangkah seiring dan sejiwa. Jangan berpecah hanya kerana isu kecil—politik, perbezaan pendapat, atau sentimen sempit. Apa guna menang berdebat kalau negeri kita ketinggalan?,” tegasnya.
“Harapan dari hati saya yang ikhlas, jangan kita biarkan perbezaan menjadi jurang. Jangan kerana salah faham kecil, kita hilang hormat. Jangan sesekali kita renggang hubungan, kerana akhirnya nanti akan retak perpaduan sosial.
Ingatlah, negeri yang kuat adalah negeri yang rakyatnya bersatu padu, dan tetap setia berganding tangan walau diuji berbagai dugaan dan cabaran,” katanya.
Beliau mengajak masyarakat Kuala Penyu agar bersama-sama membangunkan negeri Sabah yang tercinta ini. Sabah ini rumah kita. Kalau rumah kita bocor, kita baiki. Kalau ada yang retak, kita tampal. Kerana rumah yang dibiarkan rosak, akhirnya akan runtuh.
“Menerusi program turun padang Perpaduan Sosial ini, marilah kita buktikan bahawa kita adalah rakyat yang matang, yang tahu bahawa keharmonian bukan pilihan, sebaliknya ia satu kewajipan.
Saya berharap sungguh agar program ini menjadi penyatu kepada kita semua, dan semoga Kuala Penyu terus damai, manakala perpaduan rakyatnya terus mengharum sepanjang zaman,” katanya.

setempat.





