Kes bunuh: Lelaki ditahan untuk bantu siasatan

Oleh FARDY BUNGGA


KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas disyaki terlibat dalam kes bunuh seorang wanita di sebuah ladang di Jalan Tingkayu, Kunak, Jumaat lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Sabah, Datuk Azmi Abdul Rahim berkata, kes bunuh melibatkan mangsa wanita warga Filipina berusia lingkungan 40-an.
Katanya, mayat mangsa ditemui orang awam dengan kesan tetakan di bahagian tubuhnya kira-kira jam 10.26 pagi.
“Bertindak atas laporan, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak bersama Jabatan Siasatan Jenayah D9 (Siasatan Khas) JSJ, Kontinjen Sabah terus menjalankan siasatan lanjut.
“Suspek akhirnya berjaya ditahan pada jam 11.30 pagi, Sabtu lalu, di sebuah ladang kelapa sawit di daerah Kunak,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, ketika serbuan dijalankan, suspek yang menyedari kehadiran polis cuba melarikan diri sehingga berlaku pergelutan.
Bagaimanapun katanya, suspek berjaya ditahan dan polis turut berjaya merampas sebilah parang dan pakaian yang digunakan ketika kejadian yang disembunyikan oleh suspek.
“Hasil soal siasat awal, suspek warga asing berusia 51 tahun mengaku terbabit dalam kes bunuh berkenaan.
“Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

AZMI ABDUL RAHIM