TAWAU: Satu kebakaran besar memusnahkan 26 buah rumah di Kampung Kurnia Jaya, kira-kira lapan kilometer dari pusat bandar Tawau, pagi semalam, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Pusat Gerakan Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS999 pada jam 9.37 pagi dan pasukan pertama tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian.
Seramai 39 anggota bomba bersama tujuh sukarelawan bomba komuniti dikerahkan ke lokasi, dibantu anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam, pasukan perubatan serta kakitangan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
Menurut Komander Operasi, PBK I Jehrey Ibno, pasukan bomba menggunakan pam mudah alih untuk menyedut air laut serta air dari jentera bomba bagi memadamkan kebakaran yang marak.
Kesemua penghuni rumah sempat menyelamatkan diri sebelum ketibaan pasukan kecemasan, katanya.
Bomba turut berjaya menghalang api daripada merebak ke 1,300 rumah berhampiran.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 10.14 pagi dan padam sepenuhnya sebelum operasi ditamatkan pada jam 11.45 pagi selepas pemeriksaan keselamatan dilakukan.
Kebakaran itu memusnahkan sepenuhnya 25 rumah struktur kayu dan sebuah rumah separuh konkrit, selain sebuah motosikal.
Siasatan punca kebakaran sedang dijalankan oleh unit forensik bomba, manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat kini menguruskan penempatan sementara bagi keluarga yang terjejas.









