Hormati perbezaan demi perpaduan lebih utuh – Hajiji

OLEH JOHN TAMBANAN

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menyeru rakyat agar terus menghormati perbezaan antara satu sama lain bagi memperkukuh ikatan perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Beliau berkata, perpaduan yang kukuh hanya dapat dicapai apabila rakyat bersatu dan saling menghargai kepelbagaian yang wujud dalam masyarakat.
“Justeru, saya menyeru kepada rakyat untuk terus bersama kerajaan sebagai rakan kongsi untuk memperkuatkan perpaduan dan mengekalkan kestabilan politik demi kesejahteraan rakyat dan kelancaran pembangunan negeri yang tercinta ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena Sambutan Pesta Kaamatan 2025 yang disampaikan di sini, pada Khamis.
Hajiji menjelaskan bahawa sambutan Pesta Kaamatan bukan sahaja bertujuan mengeratkan silaturahim dan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama, malah sebagai tanda kesyukuran atas hasil tuaian yang baik.
“Namun lebih daripada itu, Kaamatan adalah cerminan keharmonian dan semangat muhibbah dalam kalangan rakyat Sabah, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai kemanusiaan, saling menghormati dan kebersamaan,” katanya.
“Dengan tema tahun ini, ‘Kaamatan Untuk Semua, Kaamatan For All, Kaamatan Montok Toinsanan’, saya menegaskan bahawa mesej yang dibawa sangat mendalam serta bersifat inklusif.
“Tema ini jelas menyatakan bahawa Pesta Kaamatan bukan hanya milik satu komuniti, tetapi satu perayaan bersama yang merangkumi semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang,” katanya.
Beliau turut mengucapkan selamat menyambut Pesta Kaamatan kepada seluruh masyarakat Sabah yang meraikannya.
“Saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Pesta Kaamatan, Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan kepada seluruh masyarakat yang meraikannya,” katanya.

HAJIJI NOOR … Ketua Menteri Sabah.