Koperasi Usahawan Utama Sabah teroka rancangan pembangunan KTC

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Koperasi Usahawan Utama Sabah Berhad terus memperkukuh langkah strategik dalam sektor pelaburan apabila Ahli Lembaga Pengarahnya berpeluang meninjau sendiri hala tuju pembangunan masa depan Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) menerusi majlis pecah tanah KTC Industrial Park di sini, Selasa lalu.
Lawatan itu bukan sahaja membuka ruang kepada ahli lembaga koperasi memahami pelan pembangunan jangka panjang syarikat berkenaan, malah menjadi platform untuk bertukar pandangan, meneroka peluang pelaburan baharu serta menilai potensi kerjasama strategik yang mampu menyokong pertumbuhan koperasi pada masa depan.
Pengerusi Koperasi Usahawan Utama Sabah Berhad, Louis Su berkata, lawatan berkenaan penting sebagai sebahagian daripada proses penilaian berterusan koperasi terhadap peluang pelaburan jangka panjang yang berdaya maju dan mampan.
Menurutnya, koperasi yang ditubuhkan melalui inisiatif Dewan Perdagangan Malaysia China Sabah (MCCC Sabah) sentiasa mengutamakan pendekatan pelaburan berhemat dengan memberi tumpuan kepada kekuatan kewangan syarikat, hala tuju perniagaan, potensi pertumbuhan dan jangkaan pulangan sebelum membuat sebarang keputusan.
Katanya, lawatan itu turut menjadi tanda sokongan terhadap Presiden Kehormat MCCC Sabah merangkap Pengarah Urusan KTC, Datuk Lau Kok Sing, serta Presiden MCCC Sabah merangkap Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau.
“Melalui lawatan ini, kami dapat memahami dengan lebih menyeluruh pelan pembangunan KTC termasuk taman perindustrian, ekosistem logistik, rancangan pengembangan serantau dan model perniagaan syarikat secara keseluruhan.
“Pada masa sama, kami turut memperoleh inspirasi daripada strategi yang dilaksanakan syarikat korporat besar selain mengenal pasti sektor perniagaan yang sesuai diterokai koperasi pada masa depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, koperasi berharap pelaburan jangka panjang yang stabil dan berpotensi tinggi dapat membantu menjana pendapatan mampan sekali gus meningkatkan pulangan dividen kepada ahli serta mengukuhkan kedudukan kewangan koperasi.
Louis turut menyifatkan penyertaan dalam majlis itu sebagai pendedahan berharga kepada ahli lembaga koperasi terhadap dunia pelaburan korporat, termasuk aspek jaringan strategik, trend industri dan penilaian perniagaan.
Majlis pecah tanah itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Ewon Benedick bersama Pengerusi Kumpulan KTC, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

KENANGAN …. Louis (empat kiri) bersama Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Usahawan Utama Sabah Berhad merakamkan kenangan bersama Dexter, Ewon, Mohd Zuki dan Lau pada majlis pecah tanah itu