Cubaan lelaki tempatan bawa masuk rokok seludup gagal

Oleh FARDY BUNGGA


TAWAU: Tindakan seorang lelaki cuba membawa masuk rokok seludup gagal selepas berjaya dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) dalam operasi di kawasan pelabuhan, di sini, semalam.

Dalam operasi berkenaan, lelaki warga tempatan berusia 25 tahun yang dipercayai menjadi dalang aktiviti berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, pihaknya menahan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan di kawasan laut berkenaan.

“Hasil pemeriksaan terhadap bot itu, menemui 48 bungkusan rokok yang dipercayai diseludup dari negara jiran.

“Anggaran nilai keseluruhan rampasan adalah RM95,780,” katanya ketika dihubungi, pada Selasa.

Menurutnya, semua rampasan dan tangkapan dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau untuk siasatan mengikut Akta Kastam 1967.

“PPM Wilayah Empat Sabah akan terus komited dalam membanteras jenayah penyeludupan demi keselamatan dan kesejahteraan negara,” katanya.

DITAHAN …. Rokok seludup dipercayai dibawa masuk untuk pasaran tempatan. Gambar kecil, antara rokok
yang berjaya dirampas.