RUMAH KAYU MUSNAH DALAM KEBAKARAN DI SANDAKAN

Oleh JAMES LEONG

SANDAKAN: Sebuah rumah kayu musnah dalam kebakaran di Kampung Sungai Batang, Jalan Labuk, Batu 10, di sini, Khamis.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan menerusi sistem NG999 pada jam 6.09 petang sebelum menggerakkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan ke lokasi kejadian.
Seramai 14 anggota bomba dengan bantuan dua jentera bomba dan sebuah lori tangki air dikerahkan bagi menjalankan operasi memadam kebakaran.
Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati rumah berkenaan sudah terbakar sepenuhnya.
Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran pancutan air menerusi hos sepanjang 200 kaki dengan bekalan air daripada jentera bomba.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 6.55 petang dan tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
Bagaimanapun, operasi berdepan beberapa kekangan termasuk laluan masuk yang sempit sehingga menyebabkan lori tangki air tidak dapat menghampiri lokasi kebakaran.
Selain itu, gangguan bekalan elektrik di Sandakan turut menyebabkan kesesakan lalu lintas berikutan lampu isyarat tidak berfungsi.
Gangguan internet pula menyebabkan pasukan bomba tidak dapat berkongsi gambar kejadian.
Selepas memastikan kebakaran dipadamkan sepenuhnya dan keadaan lokasi selamat, operasi ditamatkan secara rasmi pada jam 7.58 malam.
Semua anggota bersama jentera kemudian kembali ke balai.
Operasi berkenaan hanya membabitkan anggota BBP Sandakan tanpa penglibatan agensi lain.

MUSNAH …. Sebuah rumah kayu musnah dijilat api dalam kejadian kebakaran di Kampung Sungai Batang, Sandakan, Khamis.