Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri terus mempergiat agenda pendigitalan sebagai pemangkin utama pertumbuhan Sabah, dengan tumpuan memperluas capaian digital di luar bandar, memperkukuh keupayaan teknologi serta merancakkan pembangunan ekonomi digital yang lebih inklusif.
Ketua Menteri, Hajiji Noor, berkata sebanyak RM32.31 juta diperuntukkan kepada Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri (JPKN) bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan tahun ini.
Menurutnya, daripada jumlah itu, RM9.59 juta disalurkan khusus untuk mempertingkat sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), meliputi pembekalan komputer dan rangkaian ICT kepada agensi negeri, pengurusan pusat data, pengukuhan keselamatan siber serta pembangunan sistem aplikasi kerajaan.
“Kerajaan negeri melalui Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), dengan sokongan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI), terus menjadikan pendigitalan sebagai teras utama pertumbuhan.
“Fokus diberikan kepada peluasan capaian digital di luar bandar, pengukuhan keupayaan digital serta pembangunan ekonomi digital yang inklusif, sejajar komitmen meningkatkan produktiviti dan daya saing negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Identiti Korporat Baharu Celcom Timur (Sabah) Sdn Bhd di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Joniston Bangkuai.
Hajiji berkata, kesalinghubungan digital kini menjadi tunjang utama dalam memperkukuh komunikasi, memacu inovasi serta membuka peluang pertumbuhan merentasi pelbagai sektor ekonomi.
Sehubungan itu, katanya, pengukuhan infrastruktur digital merupakan faktor kritikal dalam memastikan kemajuan Sabah, termasuk dalam menjayakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030.
“SMJ 2.0 adalah pelan strategik utama yang dirangka untuk melonjakkan daya saing, produktiviti dan nilai ekonomi Sabah secara mampan serta inklusif.
“Ia merupakan kesinambungan kepada SMJ 1.0 yang memberi tumpuan kepada pemulihan dan penstabilan pasca pandemik COVID-19, dan kini diperluas bagi mendepani cabaran global yang semakin kompleks, termasuk dipacu teknologi kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital dan perdagangan rentas sempadan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama erat antara kerajaan negeri dan pemain industri seperti Celcom Timur (Sabah) Sdn Bhd amat penting dalam merapatkan jurang digital serta mempercepat pembangunan ekosistem digital negeri.
Katanya, pembaharuan identiti korporat syarikat itu mencerminkan kesiapsiagaan untuk melangkah ke hadapan sebagai penyedia infrastruktur dan rakan strategik dalam membentuk masa depan digital Sabah.
Hajiji berkata, sehingga kini Celcom Timur Sabah telah membangunkan hampir 12,000 kilometer rangkaian gentian optik di seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, sekali gus menjadi tulang belakang kepada kesalinghubungan antara daerah serta menyokong keperluan industri, khususnya sektor telekomunikasi.
“Rangkaian ini membolehkan perkhidmatan digital dinikmati secara lebih meluas, termasuk di kawasan yang sebelum ini kurang mendapat liputan.
“Peranan ini menjadikan Celcom Timur Sabah bukan sekadar penyedia infrastruktur, tetapi juga pemudah cara kepada pembangunan digital inklusif serta antara pemacu utama daya saing negeri dalam era digital,” katanya.
Tambah beliau, sumbangan syarikat itu turut terserlah melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif nasional seperti JENDELA, Point of Presence (POP2) dan rangkaian 5G, dengan Celcom Timur Sabah bertindak sebagai penyedia utama rangkaian gentian optik di negeri ini.

MOU … Joniston mewakili Ketua Menteri menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman pada Majlis Pelancaran Identiti Baharu Celcom Timur (Sabah) Sdn Bhd di Sabah International Convention Centre (SICC).





