SURABAYA (Indonesia): Sastera Etnik Sabah mampu berkembang subur di dalam dan luar Malaysia kerana eksistensinya mendapat dukungan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di samping memiliki keterkaitan dengan masyarakat dan etnisiti dalam Zon BIMP-EAGA.
Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Henry Bating, berkata pengembangan sastera etnik Sabah, etnik Sarawak, Mahua (Cina), Kayvean (Tamil), keturunan Siam dan Orang Asli secara langsung mendapat dukungan DBP menerusi antara lain seminar tahunan sastera pelbagai kaum.
“Manakala keterkaitan sastera etnik Sabah dengan masyarakat dalam Zon BIMP-EAGA memberi laluan kepada perkembangan subur di luar sempadan Malaysia,” katanya ketika menyampaikan kuliah sebagai pensyarah jemputan di Fakultas Ilmu Budaya (FIB) Universitas Airlangga (UNAIR) 27 Mei lalu.
Henry yang juga Pengerusi Bahasa Kadazandusun di Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) UMS melihat sastera etnik Sabah yang memiliki keterkaitan masyarakat di luar sempadan negara mampu menjadi bahan yang baik untuk memperkembang pengetahuan pelajar ke atas budaya dan masyarakat itu.
“Pengetahuan budaya dan masyarakat dapat membantu pelajar menguasai kemahiran mendengar dan bertutur serta membaca dan menulis termasuk menyanyi dalam kursus elektif bahasa Kadazandusun yang ditawarkan di PPIB UMS,” katanya.
Kuliah tamu serta kajian lapangan itu merupakan antara pengisian dalam kerjasama di antara FIB UNAIR dan PPIB UMS yang telah bermula sejak setahun lalu.
Dua pensyarah kanan PPIB mengisi ruang kuliah tamu itu di mana Henry menyampaikan kuliah bertajuk ’Sastera Etnik Sabah serta Multikultur Dalam Sastera Malaysia dan Indonesia’ dan Dr Shakiratul Hanany Abdul Rahman yang telah menyampaikan kuliah ’Drama Melayu Dalam Pengajaran Bahasa Inggeris Sekolah Menengah di Malaysia’.
Dalam pengembangan sastera etnik Sabah, Pertubuhan Penulis Momogun Malaysia (Momogunsia) pernah mengadakan seminar sastera serantau melibatkan pembentang dari University of the Philippines (UP), Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Lembaga Kebudayaan Kalimantan Tengah 22 Oktober 2016 di SMK Matunggong.
Pelaksanaan seminar merentas sempadan negara itu mendapat dukungan kewangan dan tenaga dari DBP dan Pejabat Ahli Parlimen Kota Marudu yang pada ketika itu diwakili Datuk Seri Dr Maximus J Ongkili.









