Oleh FARDY BUNGGA
PENAMPANG: Polis berjaya menahan tiga individu selepas disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Buit Hills, di sini, pada Ahad.
Dalam operasi kira-kira jam 3 petang itu, lapan ekor ayam yang dipercayai digunakan untuk aktiviti perjudian berkenaan turut dirampas untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Penampang menerusi operasi khas Ops Dadu.
Katanya, berdasarkan maklumat diterima, lokasi serbuan disyaki dijadikan tempat aktiviti perjudian sabung ayam.
“Semasa serbuan dijalankan, beberapa individu yang berada di lokasi bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.
“Hasil tindakan pantas, pasukan operasi berjaya menahan tiga lelaki berusia lingkungan 24 hingga 40 tahun kerana disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian berkenaan,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, pasukan operasi kemudiannya merampas lapan ekor ayam sabung, satu gelung getah yang dipercayai digunakan sebagai gelanggang sabung ayam serta beberapa peralatan berkaitan.
Katanya, turut dirampas wang tunai berjumlah RM606 yang disyaki mempunyai kaitan dengan aktiviti perjudian berkenaan.
“Semua tangkapan dan barang rampasan dibawa ke IPD Penampang untuk siasatan lanjut dan semakan awal mendapati semua suspek tidak mempunyai rekod jenayah selain negatif dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015 kerana disyaki terlibat perbuatan penganiayaan haiwan melalui aktiviti sabung ayam.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Sehubungan itu, Sammy berkata, IPD Penampang akan terus mempergiatkan usaha penguatkuasaan dan tidak akan berkompromi dengan aktiviti perjudian haram serta penganiayaan haiwan.
Katanya, orang ramai juga diseru agar terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah kepada pihak polis bagi memastikan keselamatan, ketenteraman awam dan kesejahteraan komuniti terus terpelihara.

Tiga individu ditahan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian sabung ayam.

Ayam sabung yang ditemui di lokasi serbuan turut dirampas untuk tindakan lanjut.







