Oleh FARDY BUNGGA
SANDAKAN: Seorang warga emas maut selepas dirempuh pacuan empat roda ketika cuba melintas jalan dalam kejadian di Jalan Batu Sapi, di sini, Sabtu malam.
Dalam kejadian jam 7.15 malam itu, wanita berusia 62 tahun itu dikatakan melintas sebelum dilanggar kereta Isuzu DMax yang dipandu lelaki berusia 31 tahun.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, siasatan awal mendapati pemandu kenderaan dari arah pusat bandar menghala ke Taman Mawar, di sini.
Katanya, setibanya di lokasi, mangsa dipercayai melintas jalan dari kanan ke kiri jalan secara tiba-tiba.
“Disebabkan jarak yang terlalu dekat, pemandu kenderaan gagal memberhentikan kenderaan dan terus melanggar mangsa.
“Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak ke kiri jalan dan mengalami kecederaan parah di kepala,” katanya dalam kenyataan media, kelmarin.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan terus dihantar ke Unit Forensik Hospital Duchess of Kent untuk proses bedah siasat.
Sehubungan itu, George menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika menggunakan jalan raya bagi mengelakkan tragedi seumpama ini berulang.







-218x150.jpg)
