SEMPORNA: Dua warga asing yang memiliki peralatan bom ikan berjaya ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Hidayat di sini.
Menurut Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendent Mohd Sabri Zainol, serbuan jam 8.30 malam Khamis itu dilaksanakan sepasukan pegawai dan anggota polis Balai Bum Bum.
Katanya, hasil serbuan berjaya merampas peralatan membuat bom ikan termasuk tujuh unit non-electrical datenator, dua tong putih 18 liter disyaki berisi baja putih, dua gulung fius berwarna merah dan tiga botol kaca berisi baja putih yang sudah siap diproses.

“Semasa operasi itu, pasukan serbuan menahan dua lelaki warga asing berusia 17 dan 48 tahun yang gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.
Beliau berkata, tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara selama tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
“Pihak polis mengucapkan terima kasih dengan maklumat yang disalurkan oleh orang awan dan sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat berhubung dengan kegiatan pengeboman ikan salurkan segera ke balai polis berhampiran.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dan akan mengambil tindakan tegas bagi membanteras kegiatan bom ikan yang boleh membahayakan nyawa, merosakkan ekosistem serta mengancam keselamatan negara,” katanya.








