PERPADUAN sokong penuh iltizam PMX muktamadkan tuntutan 40 peratus

KOTA BELUD: Pertubuhan Rakyat Kebangsaan Sabah (PERPADUAN) menzahirkan sokongan penuh terhadap iltizam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk memuktamadkan tuntutan Sabah berhubung hak 40 peratus hasil negeri selaras dengan semangat dan peruntukan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Presidennya, Gundohing Jack Giau, berkata kenyataan Perdana Menteri yang dizahirkan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini mencerminkan komitmen jelas Kerajaan Persekutuan dalam merungkai isu bersejarah itu secara tuntas melalui pendekatan rundingan yang telus, berfakta serta berpaksikan kepentingan bersama antara Persekutuan dan Negeri Sabah.
Menurut beliau, pendekatan rundingan berasaskan “maklumat mendalam” yang diketengahkan adalah sejajar dengan keperluan untuk memastikan sebarang keputusan yang dicapai bersifat mampan, sah dari sudut perundangan, serta mampu dilaksanakan tanpa pertikaian pada masa hadapan.
Dalam konteks itu, beliau menegaskan bahawa kejayaan rundingan berkenaan amat bergantung kepada tahap kesiapsiagaan Kerajaan Negeri Sabah.
Sehubungan itu, PERPADUAN menyeru agar penyelarasan menyeluruh dilaksanakan segera merangkumi aspek teknikal, fiskal dan perundangan, termasuk penyediaan data hasil, rekod tuntutan serta hujah perlembagaan yang komprehensif dan tersusun.
“Segala kelemahan lampau dalam memperjuangkan hak negeri wajar dijadikan iktibar. Tuntutan 40 peratus ini bukan sekadar isu kewangan, sebaliknya merupakan asas kepada keadilan fiskal, pengukuhan autonomi negeri dan pemulihan hak yang telah termaktub sejak pembentukan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau turut menekankan bahawa momentum semasa tidak harus disia-siakan, sebaliknya perlu dimanfaatkan sepenuhnya melalui kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah.
“Pendekatan yang profesional, tidak beremosi serta berorientasikan penyelesaian perlu menjadi teras dalam memastikan rundingan ini mencapai titik noktah yang memberi manfaat kepada semua pihak.
“Pemuktamadan tuntutan ini diyakini mampu menjadi pemangkin utama pembangunan Sabah, khususnya dalam memperkukuh infrastruktur asas, meningkatkan kesejahteraan rakyat serta merapatkan jurang pembangunan wilayah,” katanya.
Tambah beliau, PERPADUAN kekal komited menyokong segala usaha konstruktif ke arah memastikan hak Sabah dikembalikan secara adil dan bermaruah, selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963.

Jack Giau.