Dua penempatan warga asing diserbu

Oleh FARDY BUNGGA


KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah berjaya menggempur dua penempatan yang didiami pendatang asing tanpa izin (PATI) di sekitar daerah Keningau, tengah malam pada Isnin.
Operasi yang berakhir jam 4 pagi itu berjaya menahan seramai 141 PATI selepas dikesan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, operasi penguatkuasaan melibatkan seramai 84 anggota dan pegawai JIM dari lima Pejabat Imigresen Daerah.
Katanya, operasi dilaksanakan berdasarkan kepada aduan awam dan risikan yang dijalankan pasukan JIM selama lebih kurang sebulan.
“Sebaik serbuan dijalankan, pasukan operasi berjaya melakukan pemeriksaan terhadap 216 individu yang terdiri daripada warganegara asing dan warganegara tempatan.
“Hasil pemeriksaan, seramai 141 warganegara asing yang terdiri daripada 10 lelaki, 38 wanita dan 69 kanak-kanak warga Filipina.
“Selain itu, pasukan operasi turut menahan 16 lelaki, enam wanita dan dua kanak-kanak warga Indonesia,” katanya dalam kenyataan media, kelmarin.
Menurutnya, semua mereka ditahan selepas disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) akta sama.
Katanya, semua tahanan dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Papar untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.
Sehubungan itu, SH Sitti Saleha berkata, pihaknya akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen.
Katanya, antara kesalahan yang dikuatkuasakan ialah mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
“Tindakan tegas juga akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi PATI,” katanya.

SEMBUNYI …. Warga asing dipercayai cuba bersembunyi di dalam semak bagi mengelakkan diri dari ditahan pihak berkuasa.