Empat keluarga hilang tempat tinggal

KOTA KINABALU: Empat keluarga hilang tempat tinggal selepas rumah mereka di Kampung Padas, Manggatal, di sini, musnah dalam kejadian kebakaran, pagi kelmarin.
Dalam kejadian jam 8.40 pagi itu, semua penghuni rumah sempat keluar menyelamatkan diri sebelum ketibaan pasukan bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Timbalan Penguasa Bomba II, Agustavia Joe Guasi berkata, sepasukan 22 anggota bersama tiga jentera dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada jam 8.45 pagi.
“Sampai di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati api sedang marak memusnahkan empat rumah jenis tidak kekal itu.
“Operasi pemadaman satu aliran, dua pancutan menggunakan teknik ‘offensive’ dan ‘defensive’ untuk memadam kebakaran daripada merebak ke rumah berhampiran,” katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kebakaran berpunca dari api lilin yang dipasang selepas kawasan berkenaan terputus bekalan elektrik.
“Bagaimanapun siasatan terperinci akan dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kebakaran.
“Operasi terkawal pada jam 9.35 pagi dan operasi ditamatkan 11.18 pagi sebaik kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya,” katanya.
Difahamkan, semua mangsa kini terpaksa menumpang di rumah saudara yang berdekatan.-FB

OPERASI …. Pasukan bomba melakukan operasi pemadaman di lokasi