SANDAKAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menghantar pulang seramai 623 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Filipina ke negara asal menerusi Operasi Pemindahan Tahanan Pati, semalam.
Pemindahan PATI tahanan dari Depot Imigresen Papar dan Sandakan itu melibatkan individu berusia 11 bulan hingga 79 tahun.
Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, semua PATI terbabit dipindahkan melalui Pelabuhan Sandakan menuju ke Zamboanga City, Filipina.
Katanya, mengikut pecahan, seramai 483 ialah lelaki dewasa, 80 wanita dan 60 kanak-kanak.
“Program ini dilaksanakan dengan kerjasama erat Kedutaan Republik Filipina yang telah mengeluarkan dokumen perjalanan kepada semua PATI terlibat.
“Setakat ini, seramai 3,993 warga Filipina sudah dipindahkan ke negara asal bagi tahun ini,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan.
Menurutnya, manakala jumlah keseluruhan PATI yang sudah dihantar pulang melibatkan pelbagai negara lain ialah sebanyak 4,834 orang.
“Semua PATI yang dipindahkan sudah dijatuhi hukuman mengikut Seksyen 15(1)(c) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Antara kesalahan yang dilakukan ialah masuk tanpa pas atau permit sah serta tinggal lebih masa dan mereka telah menjalani hukuman penjara sebelum diproses untuk dihantar pulang setelah lengkap dengan dokumen perjalanan,” katanya.
Menurutnya, semua PATI terlibat akan disenarai hitam mengikut jenis kesalahan yang dilakukan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau majikan yang melanggar undang-undang imigresen.
“Tindakan pendakwaan juga akan dikenakan kepada majikan serta pemilik premis yang menggaji warga asing tanpa dokumen sah.
“Majikan digesa untuk mengambil pekerja asing melalui saluran sah yang ditetapkan oleh undang-undang,” tegasnya.
Sehubungan itu, SH Sitti Saleha berkata, pihaknya akan terus melaksanakan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dalam usaha membanteras masalah PATI di negeri ini. -FB







