Wanita PGRS Senallang tulang belakang perjuangan parti

SEMPORNA: Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Senallang, Mohd Rashdey Datuk Haji Sabardin menzahirkan penghargaan atas komitmen tinggi Pergerakan Sayap Wanita PGRS dalam memperkukuh gerak kerja parti di peringkat akar umbi.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Tahunan Pergerakan Sayap Wanita Bahagian PGRS N.65 Senallang yang dipengerusikan Ketua Penggerak Kerja Wanita, Fatimah Aisah  Hj Kisun, yang turut memegang jawatan Ketua Biro Kebajikan Wanita Bahagian.

“Jutaan terima kasih kepada seluruh ahli bahagian dan Pergerakan Wanita Dun N.65 Senallang, khususnya ketua-ketua cawangan wanita serta para perwakilan yang hadir. Semangat yang ditunjukkan sangat membanggakan,” katanya.

Majlis turut menyaksikan pengukuhan peranan wanita sebagai nadi penting dalam menjayakan agenda kebajikan dan pembangunan masyarakat setempat.

“Dalam landskap politik Semporna yang selama ini didominasi oleh parti Warisan, kehadiran PGRS dilihat sebagai alternatif baharu yang lebih segar dan berpaksikan agenda rakyat,” katanya.

Mohd Rashdey yakin, dengan strategi tepat dan gerak kerja bersepadu, PGRS mampu mencabar dominasi sedia ada, terutama jika sokongan golongan wanita dan belia dapat dimantapkan.

Menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah, PGRS Bahagian Senallang juga akan menggandakan usaha memperkukuh jentera di peringkat cawangan, menyantuni rakyat secara konsisten dan memperluas rangkaian akar umbi sebagai persiapan awal menghadapi sebarang kemungkinan pembubaran Dewan Undangan Negeri.

Keseluruhan ketua-ketua cawangan wanita dan perwakilan wanita menyatakan sokongan penuh kepada Ketua Bahagian PGRS Senallang, Mohd Rashdey Datuk Hj Sabardin.

Ketua-Ketua cawangan wanita dan perwakilan wanita juga bersetuju menamakan Ketua Bahagian PGRS N.65 Senallang Mohd Rashdey Datuk Hj Sabardin sebagai calon bagi Dun Senallang pada PRN17.

Usul dibacakan oleh Timbalan Ketua Penggerak Kerja Wanita merangkap AJK Bahagian PGRS Senallang Hanisah Gemok.

CENDERAMATA… Fatimah Aisah menyampaikan cenderamata kepada Mohd Rashdey.