TAMPARULI: Rakyat Sabah perlu mempertahankan sokongan terhadap Parti Solidariti Tanah Airku (Star) kerana sejarah telah membuktikan bahawa perjuangan menuntut hak-hak Sabah tidak datang secara mudah, sebaliknya lahir daripada pengorbanan dan keteguhan pemimpin yang sanggup berhadapan pelbagai cabaran politik demi kepentingan negeri.
Pemangku Timbalan Presiden STAR, Datuk Lawrence Gimbang berkata, Presiden Star, Dr Jeffrey G. Kitingan telah menghabiskan sebahagian besar perjalanan politiknya memperjuangkan isu-isu melibatkan hak Sabah, pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), autonomi negeri serta agenda “Sabah for Sabahan” jauh sebelum isu-isu tersebut menjadi arus perdana dalam politik negara.
“Perjuangan ini bukan bermula semalam dan bukan juga perjuangan bermusim menjelang pilihan raya. Ia adalah perjuangan yang menuntut keberanian politik, kesabaran dan pengorbanan yang besar,” katanya.
Menurut beliau, ketika ramai menganggap perjuangan berhubung MA63 dan hak-hak Sabah sebagai isu pinggiran, Dr Jeffrey telah membawa suara rakyat Sabah ke pelbagai peringkat tanpa pernah berganjak daripada prinsip perjuangan tersebut.
Gimbang menambah, pelbagai tuntutan yang kini menjadi agenda nasional berkaitan Sabah sebenarnya telah lama diperjuangkan oleh Dr Jeffrey dan Star ketika ramai pihak masih memilih untuk berdiam diri.
Beliau berkata, rakyat Sabah sewajarnya menilai bukan sahaja janji politik, tetapi juga rekod perjuangan dan konsistensi kepimpinan dalam mempertahankan kepentingan negeri.
“Persoalan yang perlu ditanya oleh rakyat Sabah hari ini ialah, jika bukan Star dan jika bukan Dr Jeffrey yang terus membawa isu hak Sabah secara konsisten selama ini, siapakah lagi yang sanggup melakukannya dengan keberanian dan ketegasan yang sama?” katanya.
Gimbang berkata demikian ketika menghadiri pertemuan bersama pemimpin akar umbi Star Bahagian Tamparuli yang diketuai John Jinitoh dan Star Bahagian Kiulu yang dipimpin Terence Sinti di sini pada Khamis.
Turut hadir Setiausaha Agung Star, Datuk Edward Linggu Bukut, Ketua Penerangan Star, Anuar Ghani serta Ketua Bahagian Star Sulaman, Datuk Kalakau Untol.
Gimbang berkata, menjelang pilihan raya akan datang, rakyat Sabah berdepan pilihan sama ada untuk terus memperkukuh mandat kepada parti tempatan yang menjadikan hak dan masa depan Sabah sebagai teras perjuangan atau kembali kepada politik lama yang meletakkan kepentingan negeri di kedudukan kedua.
Menurut beliau, sokongan kepada Star bukan sekadar soal mempertahankan sebuah parti politik, tetapi mempertahankan kesinambungan perjuangan untuk memastikan Sabah memperoleh haknya yang termaktub dalam Perlembagaan dan Perjanjian Malaysia 1963.
Dalam pertemuan itu, para pemimpin turut merangka beberapa program bersama akar umbi yang bakal dihadiri oleh Presiden Star dalam masa terdekat bagi memperkukuh gerak kerja parti dan memperluaskan penerangan mengenai agenda perjuangan Sabah kepada rakyat di peringkat akar umbi.-Henry Bating

Gimbang (ke-4 kanan) makan tengahari bersama pemimpin Star Kiulu dan Tamparuli.








