Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) menyasarkan peluasan pengaruh ke seluruh Sabah dalam masa terdekat sebagai sebahagian daripada strategi memperkukuh kedudukan politiknya di negeri ini.
Presidennya, Liew Yun Fah, berkata sebagai langkah awal, parti yang berpangkalan di Tawau itu akan memberi tumpuan kepada kawasan yang menyaksikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak berjaya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu.
“Buat permulaan, kita akan meneliti kawasan seperti Sandakan dan Kota Kinabalu. Namun, sebagai anggota GRS, saya tetap menyokong gabungan ini. Kawasan lain akan dipertimbangkan kemudian berdasarkan keperluan semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran pengamal media, Zakaria Damit, di kediamannya di Kampung Bangka-Bangka, Likas, semalam.
Mengulas sama ada PHRS hanya menyasarkan kawasan majoriti pengundi Cina, Liew menegaskan parti itu berteraskan pelbagai kaum dan komited memperjuangkan kepentingan seluruh rakyat Sabah tanpa mengira latar belakang.
“PHRS bukan parti untuk satu kaum sahaja. Di mana sahaja terdapat keperluan dan cabaran rakyat, di situlah kita akan hadir untuk memperkukuh kebersamaan dan mencari penyelesaian,” katanya.
Menurut beliau, PHRS kini memiliki hampir 100 cawangan dengan keanggotaan melebihi 40,000 orang—satu indikator momentum pertumbuhan yang semakin progresif.
Dalam pada itu, Liew turut menyuarakan keyakinan bahawa pengundi Cina di Sabah akan kembali memberikan sokongan kepada parti-parti dalam kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Menyentuh isu tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada Sabah, beliau menegaskan semua pemimpin negeri, termasuk pembangkang, perlu memainkan peranan secara kolektif dan konstruktif dalam mencari penyelesaian.
“Apa yang penting adalah kesatuan rakyat Sabah dalam isu ini. Sokongan padu perlu diberikan kepada pemimpin yang sedang berunding demi kepentingan negeri.
“Perbezaan pendirian yang wujud ketika ini hanya akan mewujudkan jurang yang menyukarkan penyelesaian. Namun, jika semua pihak berkongsi hala tuju yang sama—bahawa tuntutan ini adalah hak Sabah—saya yakin ia mampu diselesaikan dengan lebih efektif,” katanya.
Beliau turut menyeru rakyat Sabah agar bersatu dalam satu aspirasi bersama, khususnya dalam memperjuangkan hak 40 peratus hasil bersih tersebut.

MESRA …. Liew (kiri) disambut setibanya di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yang dihoskan Zakaria (kanan).




