Perkembangan Balabac perlu dipandang serius, rakyat Sabah jangan panik – Shafie

KOTA KINABALU: Perkembangan aktiviti ketenteraan di Balabac, Filipina yang terletak berhampiran Sabah perlu dipandang serius, namun rakyat negeri ini tidak perlu panik, kata Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal.
Beliau berkata, peningkatan aktiviti ketenteraan berhampiran perairan Sabah menunjukkan perubahan keadaan keselamatan di sekitar negeri itu yang perlu diberikan perhatian sewajarnya.
Menurutnya, kerajaan perlu memastikan keupayaan pertahanan, pengawasan maritim dan kawalan sempadan Sabah berada pada tahap mencukupi, khususnya di kawasan utara dan pantai timur.
“Apa yang berlaku di Balabac mengingatkan kita bahawa keadaan keselamatan di sekitar Sabah sedang berubah.
“Dengan peningkatan aktiviti ketenteraan begitu hampir dengan perairan kita, kita mesti memastikan pertahanan, pengawasan maritim dan kawalan sempadan Sabah benar-benar mencukupi,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Shafie berkata, Malaysia perlu terus mengekalkan dasar luar bebas dan berkecuali serta tidak terheret dalam persaingan antara kuasa besar.
Katanya, hubungan baik dengan Amerika Syarikat (AS) dan China perlu terus dipelihara, dengan setiap keputusan dibuat berasaskan kepentingan Malaysia, kedaulatan negara dan keselamatan rakyat.
“Sabah tidak seharusnya terperangkap dalam persaingan antara kuasa-kuasa besar. Saya menyokong usaha memperkukuhkan keselamatan dan pertahanan Sabah.
“Ini bukan soal politik. Kerajaan Persekutuan mesti memastikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), ESSCOM dan agensi keselamatan lain mempunyai aset, teknologi dan sumber yang mencukupi, khususnya di utara dan pantai timur Sabah,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata Malaysia perlu terus menggunakan saluran diplomasi dengan Filipina, AS, China dan negara ASEAN bagi memastikan keamanan serta kestabilan rantau ini terpelihara.
Shafie berkata, keselamatan Sabah adalah sebahagian daripada keselamatan Malaysia dan kedaulatan negeri itu tidak boleh dikompromi.
“Sabah bersama-sama membentuk Malaysia pada tahun 1963. Oleh itu, keselamatan Sabah adalah keselamatan Malaysia dan kedaulatan kita tidak boleh dikompromi.
“Rakyat Sabah tidak perlu takut, tetapi kita mesti sentiasa berwaspada dan bersedia. Sempadan kita mesti dilindungi, sementara keamanan terus diusahakan melalui diplomasi,” katanya.

SHAFIE