Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick mengalu-alukan pelaksanaan Kajian Kemungkinan dan Reka Bentuk Awalan Sistem Kereta Api yang menghubungkan Putatan, Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) dan Pelabuhan Sepanggar.
Beliau berkata kajian itu penting bagi menentukan hala tuju baharu pembangunan sistem pengangkutan rel di Sabah.
“Saya mengalu-alukan hasrat Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) untuk memulakan kajian ini dalam masa terdekat. Saya ingin melihat dapatan kajian ini kerana keperluan kepada sistem konektiviti yang lebih baik amat penting, khususnya untuk menghubungkan taman-taman perindustrian dengan pelabuhan di seluruh negeri.
“Dapatan kajian ini akan menjadi input penting dalam menentukan hala tuju baharu sistem pengangkutan rel negeri, termasuk menyokong agenda pembangunan perindustrian dan logistik Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke JKNS di sini, Selasa.
Mengulas Kajian Kebolehlaksanaan Projek Kereta Api Trans Borneo yang sedang dilaksanakan, Ewon berkata kementerian akan mengemukakan pandangan tambahan bagi memastikan kepentingan Sabah diambil kira dalam kajian itu.
“JKNS telah mengemukakan pandangan mereka dengan memberi keutamaan kepada pelabuhan utama di Sabah iaitu Tawau, Lahad Datu, Sandakan, Kudat dan Kota Kinabalu,” katanya.
Beliau turut menyambut baik pelaksanaan Kajian Semula Kadar Tambang Perkhidmatan Kereta Api serta kajian berkaitan peningkatan sistem dan aset rel.
“Dari segi hasil, JKNS kini mengutip sekitar RM1.2 juta setahun. Dengan kajian yang sedang dan akan dilaksanakan, saya percaya kerajaan dapat menggubal hala tuju baharu bagi meningkatkan hasil tanpa mengabaikan peranan jabatan dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.
Ewon berkata kementeriannya akan terus memperkasakan perkhidmatan rel sebagai sistem pengangkutan pilihan rakyat Sabah pada masa hadapan.
“Saya ingin melihat wawasan jangka panjang pengangkutan kereta api menjadi mod utama mobiliti rakyat Sabah. Usaha ke arah itu sentiasa diambil oleh JKNS dan saya akan terus menyokong setiap pelan menaik taraf kelengkapan serta perkhidmatan mereka,” katanya.
Beliau turut berharap pasukan Sabah First di JKNS terus diperkasakan bagi memastikan perkhidmatan yang berkualiti, selamat dan berkesan kepada rakyat.
Sementara itu, Pengarah JKNS, Ir. Mohammad Safri berkata Kajian Kebolehlaksanaan Projek Kereta Api Trans Borneo akan dilaksanakan selama 12 bulan dan dijangka siap pada penghujung 2026.
Katanya, Kajian Kemungkinan dan Reka Bentuk Awalan Sistem Kereta Api Putatan–KKIP–Pelabuhan Sepanggar akan dimulakan dalam masa terdekat dan dijangka siap dalam tempoh 12 bulan.
Pada lawatan itu, beliau turut memberikan taklimat mengenai perkhidmatan sedia ada, cabaran serta inisiatif baharu jabatan.
Turut hadir, Pembantu Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Jonnybone J. Kurum; Setiausaha Tetap kementerian, Datuk Thomas Logijin serta pegawai-pegawai kementerian dan JKNS.

CENDERAMATA ….. Ir. Mohammad Safri (dua dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada Ewon.







