Oleh FARDY BUNGGA
TAWAU: Orang ramai di Jalan Megah 9, di sini, gempar selepas menemui satu mayat lelaki dipercayai menggantung diri di sebatang pokok, semalam.
Mayat yang sudah mula kehitaman itu ditemui orang awam pada jam 10.45 pagi sebelum melaporkan kejadian kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat yang masih lengkap anggota badan berkenaan.
Katanya, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Tawau untuk tindakan selanjutnya termasuk proses bedah siasat.
“Berkaitan kes penemuan mayat ini, saya mengesahkan polis telah menerima aduan berkaitan penemuan mayat oleh orang awam disyaki gantung diri pada jam 10.45 pagi.
“Setakat ini polis mengklasifikasikan kes ini sebagai Sudden Death Report (SDR). Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Tawau untuk tujuan bedah siasat,” katanya.
Menurutnya, proses bedah siasat belum dapat dijalankan dan pasukan koroner dijadual akan hadir ke hospital esok (hari ini).
Untuk rekod, penemuan mayat ini adalah yang kedua dilaporkan di Tawau selepas kejadian pertama minggu lepas, melibatkan mayat lelaki ditemui terapung di parit berhampiran Pusat Komersil Ba Zhong, Jalan Kg Titingan.

sebelum melaporkan kejadian kepada pihak polis.








