Oleh FARDY BUNGGA
PENAMPANG: Sebuah rumah ranap dan dua kereta rosak akibat berlakunya tanah runtuh dalam kejadian di Kampung Madsiang, Jalan Tambunan Penampang, pagi kelmarin.
Bagaimanapun dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan terlibat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Penolong Kanan Penguasa Bomba,Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.21 pagi.
Katanya, sebaik menerima panggilan kecemasan, sepasukan lapan anggota digerakkan ke lokasi dengan menaiki jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Setibanya di lokasi, didapati berlaku tanah runtuh yang mengakibatkan sebuah rumah runtuh sepenuhnya serta merosakkan dua kenderaan milik penduduk.
“Tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian itu. Pasukan bomba mengambil tindakan menasihati penduduk sekitar supaya berpindah sekiranya perlu kerana dibimbangi berlaku runtuhan susulan,” katanya dalam kenyataan, kelmarin.
Menurutnya, pasukan penyelamat turut melakukan pemantauan di kawasan berhampiran bagi memastikan keadaan benar-benar terkawal sebelum operasi ditamatkan.








