Oleh FARDY BUNGGA
KOTA KINABALU: Polis menahan sepasang suami isteri selepas didapati memiliki bunga ganja bernilai RM3.56 juta dalam operasi di daerah Kudat, 20 Ogos lalu.
Rampasan bunga ganja yang dianggarkan seberat 44.3 kilogram berkenaan adalah yang pertama direkodkan di Sabah.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, kedua-dua suspek merupakan lelaki tempatan berusia 35 tahun dan isterinya warga asing berusia 32 tahun.
Katanya, penahanan itu berjaya dilakukan susulan maklumat yang diterima daripada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Sabah.
“Suspek lelaki berjaya ditahan pada jam 4.40 petang di gelanggang bola tampar Kampung Tanjong Kapor, Kudat, manakala isterinya pula ditahan kira-kira 10 minit kemudian di tepi jalan kawasan berhampiran.
“Kedua-dua suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat bersama empat bungkusan plastik disyaki mengandungi bunga ganja dan ganja,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mohd Azhar Hamin dan Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil
Jauteh berkata, pemeriksaan lanjut menemukan 75 paket plastik disyaki mengandungi bunga ganja seberat 44.3 kilogram dan 10 paket plastik disyaki ganja seberat 5.6 kilogram.
“Keseluruhan dadah seberat 49.9 kilogram itu dianggarkan bernilai RM3.56 juta dan dipercayai mampu menampung kira-kira 99,800 penagih bagi sekali penggunaan.
“Semakan mendapati suspek lelaki mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah dan Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK), manakala isterinya tidak mempunyai rekod lampau,” katanya.
Menurutnya, hasil ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek lelaki positif methamphetamine dan amphetamine, manakala isterinya negatif dadah.
“Kedua-dua suspek sudah dituduh di Mahkamah Kudat pada 28 Ogos lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kejayaan itu adalah hasil risikan berterusan serta kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat kepada polis,” katanya.

SIDANG MEDIA …. Jauteh menunjukkan rampasan bunga ganja semasa sidang media terbabit.





