KOTA BELUD: Seorang lelaki maut selepas lori 10 tan membawa muatan batu yang dipandunya terbabas sebelum terbalik dan terbakar dalam kejadian di Jalan Ulu Kukut, di sini, tengah hari kelmarin.
Dalam kejadian itu, mangsa berusia 55 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akibat kecederaan parah.
Mangsa dipercayai tercampak keluar dari kenderaan sebelum ditemui tidak bernyawa di tempat kejadian.
Kebakaran dipercayai berlaku selepas lori berkenaan hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik di bahu jalan sebelum api marak dengan cepat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elgie Bakuk, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.36 pagi sebelum menggerakkan lapan anggota bersama dua jentera ke lokasi.
“Pasukan bomba tiba kira-kira jam 12.10 tengah hari dan segera melaksanakan operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula (hose reel) serta satu tong buih (foam).
“Pemandu lori disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 12.50 tengah hari sebelum operasi ditamatkan pada jam 1.17 petang.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

MAUT …. Pasukan bomba menjalankan operasi memadam dan menyelamatkan mangsa terbabit.






