KOTA KINABALU: Menjelang ketibaan Hari Raya Aidilfitri, seramai 35 murid asnaf dari SK Bukit Padang diraikan menerusi Program Shopping Baju Raya Asnaf 2026 yang berlangsung penuh ceria di Jakel Silk House Kota Kinabalu.
Program hasil kolaborasi Panitia Pendidikan Islam dan Kelab Kebajikan & Rekreasi sekolah itu bukan sekadar inisiatif kebajikan, malah menjadi platform strategik menyemai nilai empati, kasih sayang dan keprihatinan dalam ekosistem pendidikan serta komuniti setempat.
Pegawai Pendidikan Daerah Kota Kinabalu, Johari @ Jaibet Sabin, berkata program tersebut mencerminkan kepimpinan progresif pihak sekolah dalam membina sinergi kukuh antara guru, ibu bapa dan komuniti.
“Inisiatif ini bukan sahaja meringankan beban keluarga, tetapi turut membina nilai kemanusiaan dalam kalangan masyarakat. Ia membuktikan sekolah mampu menjadi pemangkin perubahan sosial yang inklusif,” katanya ketika merasmikan program berkenaan.
Beliau turut berharap agar murid asnaf menghargai peluang yang diberikan serta menyambut Aidilfitri dengan penuh kesyukuran hasil usaha gigih semua pihak.
Sementara itu, Guru Besar SK Bukit Padang, Ahmad Roshni Mohd Khalid, merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang termasuk Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah, PIBG serta individu yang bersama menjayakan program berkenaan.
Menurutnya, amalan bersedekah khususnya dalam bulan Ramadan bukan sahaja menyucikan harta dan jiwa, malah memperkukuh jaringan solidariti sosial dalam kalangan masyarakat.
“Program ini akan diteruskan dengan Majlis Iftar di peringkat sekolah sebagai kesinambungan usaha memastikan kebajikan murid terus terpelihara,” katanya.
Dalam pada itu, GPK Kokurikulum, Siti Normidah Awang Besar, menegaskan bahawa program seumpama ini memberi pengalaman bermakna kepada murid.
“Ia bukan sekadar membeli baju raya, tetapi memberi rasa dihargai, mencipta memori indah dan menyemarakkan semangat kebersamaan agar tiada yang tercicir daripada menikmati kegembiraan Aidilfitri,” ujarnya.
Sepanjang program berlangsung, suasana di premis dipenuhi keterujaan apabila murid-murid memilih pakaian seperti baju Melayu, baju kurung dan pakaian moden dengan bantuan kakitangan yang mesra.
Senyuman, gelak tawa dan rasa syukur jelas terpancar, menjadikan program ini sebuah manifestasi indah nilai kemanusiaan yang terus hidup dalam denyut nadi masyarakat.

MEMAKAIKAN BAJU MELAYU — Johari @ Jaibet Sabin membantu memakaikan baju Melayu kepada salah seorang murid asnaf.

KENANGAN….Album kenangan bersama murid asnaf dari SK Bukit Padang sempena program berkenaan.





