KePKAS pandang serius insiden kecederaan gajah Pygmy Borneo

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) memandang serius insiden seekor gajah Pygmy Borneo dipercayai mengalami kecederaan di kawasan Felda Kalabakan Selatan.
Menterinya, Datuk Jafry Ariffin berkata, insiden itu mencetuskan kebimbangan pihak berkuasa hidupan liar negeri yang tular di media sosial selepas video memaparkan keadaan gajah itu tersebar sejak beberapa hari lalu.
Menurutnya, operasi pencarian dan pemantauan dijalankan oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah pada 13 dan 14 Mei lalu selepas menerima aduan mengenai gajah terbabit minggu lalu.
Bagaimanapun, katanya gajah itu gagal ditemui sepanjang operasi dijalankan menyebabkan usaha menyelamat belum dapat dilaksanakan setakat ini.
Berikutan itu katanya, tindakan lanjut akan diteruskan berdasarkan maklumat baharu, penemuan semula haiwan berkenaan atau laporan tambahan daripada orang awam,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, hasil penilaian awal pasukan veterinar mendapati kecederaan membabitkan belalai gajah adalah sangat kompleks dan sukar dipulihkan sepenuhnya.
Jafry berkata, sekiranya prosedur pembinaan semula atau penyambungan perlu dilakukan, kemungkinan untuk mengembalikan fungsi normal belalai adalah rendah.
Katanya, rawatan bukan hanya melibatkan penjagaan luka semata-mata, tetapi boleh memerlukan pembedahan membuang tisu rosak, rawatan intensif selepas pembedahan, pengurusan makanan serta pemantauan rapi selama satu hingga dua minggu,
Katanya, pemerhatian awal mendapati luka pada belalai gajah itu menunjukkan tanda penyembuhan walaupun proses penutupan luka tidak berlaku secara sempurna.
Katanya, pasukan renjer Jabatan Hidupan Liar Sabah kini menjalankan pemantauan berterusan dan setakat ini tiada tanda jangkitan serius yang boleh mengancam nyawa haiwan berkenaan.
“Pada masa ini, rawatan veterinar belum diperlukan namun tindakan segera akan diambil sekiranya keadaan gajah itu bertambah buruk atau berlaku komplikasi lain,” katanya.
Jafry berkata, punca sebenar kecederaan masih dalam siasatan dan pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada jerat, objek tajam atau peralatan digunakan di ladang kelapa sawit.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi sementara siasatan dan penilaian lapangan masih dijalankan.
“Gajah Pygmy Borneo adalah antara spesies hidupan liar paling ikonik di Sabah dan sebahagian penting daripada warisan alam sekitar negeri ini.
“Kita komited memastikan setiap kes membabitkan hidupan liar ditangani secara bertanggungjawab, profesional dan berdasarkan penilaian saintifik,” katanya.

CEDERA …. Seekor gajah Pygmy Borneo dikesan mengalami kecederaan pada bahagian belalai dipercayai di kawasan Felda Kalabakan Selatan.