SANDAKAN: Petronas baru-baru ini telah menyumbang kepada penganjuran Bulan Pemakanan Malaysia 2025 dan program Jom Sihat Sandakan, bertujuan memupuk kesedaran kesihatan dalam kalangan komuniti setempat.
Program ini dianjurkan bersama oleh Persatuan Rasmi Rehabilitasi Sandakan dan Hospital Duchess of Kent, dengan fokus untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai penyakit tidak berjangkit seperti angin ahmar, hipertensi, diabetes, dan dislipidemia.
Usaha ini bertujuan menekankan kepentingan pencegahan, pengesanan awal serta rehabilitasi. Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr Maria Suleiman.
Selaras dengan komitmennya terhadap kesejahteraan dan pembangunan masyarakat yang merupakan antara teras utama inisiatif impak sosialnya Petronas bersama cabang impak sosialnya, Yayasan Petronas, secara konsisten menyokong pelbagai program berkaitan kesihatan di Sabah melalui kerjasama strategik dengan Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat serta Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.
“Penglibatan Petronas dalam program ini bukan sahaja menyerlahkan sokongan kami terhadap inisiatif kesejahteraan komuniti, tetapi turut melambangkan semangat kolaborasi antara sektor awam, swasta dan masyarakat demi kesejahteraan bersama,” kata Khairuddin.
Petronas dan Yayasan Petronas memainkan peranan penting dalam menyokong pelbagai inisiatif penjagaan kesihatan di Sabah dengan menyediakan sumber yang amat diperlukan, khususnya di kawasan luar bandar.
Antara sumbangan termasuk pembiayaan Kent Cottage Anjung Kasih di Hospital Duchess of Kent, yang menyediakan penginapan percuma kepada penjaga pesakit yang menjalani rawatan, terutamanya dari kawasan pedalaman.
Lanjutan daripada inisiatif ini, Petronas turut menyokong program Homeward anjuran Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, yang membekalkan peralatan perubatan asas kepada pesakit yang menjalani rawatan di rumah, termasuk katil boleh laras dan oxygen concentrator.
Selain itu, Yayasan Petronas juga telah menyumbang mesin hemodialisis untuk pesakit buah pinggang serta mesin pam infusi untuk penghidap talasemia yang secara langsung memberi kesan positif kepada kehidupan golongan yang memerlukan rawatan khusus berkenaan.-JT






