Oleh JOHN TAMBANAN
PAPAR: Pembinaan Kompleks Kebudayaan Sabah di Kinarut berupaya menjadikan daerah ini sebagai hab industri Kreatif, kata Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali.
Beliau berkata, industri kreatif juga berpotensi membuka peluang ekonomi baharu kepada penduduk tempatan, sekali gus memasarkan bakat kreatif tempatan ke peringkat nasional.
“Kepada bakat-bakat tempatan yang ada di Sabah, rebutlah peluang untuk menceburi industri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran tayangan komersial filem pendek Sabah dan tayangan perdana Impak Maksima 2 di 10 Star Cinema Park Lane City, Benoni Papar pada malam Rabu.
Armizan berkata, keunikan potensi indsutri kreatif di Sabah sangat besar. “Kita ada bakat-bakat cemerlang, kita ada tradisi budaya yang unik. Kita juga ada sumber kazanah. Justeru, saya amat positif dengan keyakinan pelaburan dalam indistri ini di Sabah,” katanya.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif 10STAR Cinemas Sdn Bhd Onn Norshal Hamzah; Pengarah Impak Maksima 2 Datuk Ahmad Idham dan Pengarah Urusan Kumpulan WSG Datuk Susan Wong.
Menyentuh tayangan perdana Impak Maksima 2 di 10 Star Cinema Park Lane City, Benoni Papar, Armizan menyatakan penghargaan kepada penganjur kerana memilih Papar untuk tayangan perdana berkenaan.
“Sudah pasti ia bukan sahaja memberi peluang kepada penduduk daerah ini menyaksikan tayangan berkenaan malah mereka juga berpeluang mendekati dan mengenali lebih dekat lagi dengan artis-artis filem Impak Maksima 2 yang turut hadir sempena tayangan perdana di daerah ini,” katanya.









